Wednesday, March 9, 2011

37 TIPS MUDAH CARA MENJAGA LAPTOP

Tips mudah bagi penjagaan peralatan laptop. Kurungan [ info ] adalah maklumat yang saling berkaitan dengan tips penjagaan laptop anda. Disarankan anda turut membaca info yang diberikan.

[ INFO ] Peralatan Laptop / notebook :

1. Kebanyakkan laptop pada masa kini adalah mampu untuk digunakan dalam tempoh yang lama, lebih dari 24 jam bahkan 7 hari seminggu. Penggunaan lebih lama bermaksud akan mengurangkan jangka hayat laptop tersebut. Namun, bagi setiap laptop, 3 tahun adalah tempoh outdated yang bermaksud teknologi laptop tersebut telah terkebelakang dan tidak serasi dengan yang terkini yang menyukarkan proses upgrade peralatan.

2. Kebanyakkan notebook hanya boleh di upgrade dari segi kapasiti RAM dan hard disk. Upgrade bagi processor dan boards adalah tidak mustahil tetapi agak sukar.

3. Laptop seringkali mempunyai masalah habuk di dalam casing yang menyekat pengaliran udara dan boleh menyebabkan kepanasan kepada komponen2 seperti processor dan RAM. Suhu yang tinggi boleh menyebabkan masalah stability dan komponent tidak tahan lama.

4. Setiap komponen hardware mempunyai spesifikasi yang perlu di turuti sekiranya anda berfikir untuk upgrade kepada komponent yang lebih baru (latest). Contohnya: DDR1 dan DDR2 adalah berbeza dari segi speed dan keperluan voltage, bahkan kaki sambungan juga sudah berbeza. Komponent hardware yang terkini tidak semestinya serasi atau disokong oleh spesifikasi peralatan yang sedia ada. Semak spesifikasi terlebih dahulu sebelum upgrade.

5. Komponen elektronik bahkan peralatan (hardware) komputer seperti processor, ram, graphic card, hard disk dan motherboards mempunyai jangka hayat (life-span) yang tertentu. Life-span kebiasaanya dikira dalam unit kegunaan per jam. Contoh: hard disk kebiasaannya mempunyai life-span dalam 100,000 H yang bermaksud ianya tahan sehingga 100 000 jam penggunaan (12 tahun).

6. Peralatan yang rosak, kebiasaannya terus ditukar ganti dengan yang baru. Namun, spesifikasi peralatan yang baru haruslah boleh diterima oleh spesifikasi peralatan yg lama. Masalah stability biasanya terjadi disebabkan kecuaian memilih peralatan yang tidak disokong oleh spesifikasi peralatan yang baru dan lama.

7. Bateri notebook adalah satu alat yang dipakai buang. Tempoh penggunaan (life-span) bagi bateri biasanya hanya bertahan dalam 30,000 H (usage) ~ berkadaran dalam 3 tahun sahaja. Bateri tersebut harus digantikan dengan bateri yang sama spesifikasi.

8. Pendrive / Removable drive / USB drive / biasanya cepat rosak jika disambungkan pada port USB anda yang hampir dengan kawasan pemasangan bateri / exhaust fan heat sink processor.

9. Penggunaan komponen wired (berwayar) berbanding wireless (tanpa-wayar) adalah lebih stabil dan laju dari segi penghantaran data. Sekiranya tidak perlu, elak menggunakan komponen wireless.

10. Musuh utama komponent komputer adalah haba. Elak dari kawasan yang panas dan tidak baik pengudaraannya. Habuk yang byk dan tersekat di dalam casing menyebabkan pemindahan haba ke ruang udara tidak efisyen menyebabkan komponen cepat panas.

11. Laptop boleh dimatikan dengan beberapa cara, antaranya dengan menekan butang power on / off selama beberapa saat (4 saat dan lebih). Namun, ianya tidak digalakkan. Jika laptop menjadi hang, guna button reset (jika ada). Jika perlu juga mematikan / shutdown, pastikan lampu indicator bagi hard disk tidak menyala sebelum mematikannya.

12. Antara bahagian bawah laptop yang sering menjadi panas adalah di bahagian terletaknya processor, heatsink, harddisk, ram dan bateri.


[ TIPS ] Penjagaan laptop / notebook:

1. Elak guna laptop sekiranya rumah anda grounding tidak baik semasa guruh kilat. Boleh menyebabkan litar pintas dan kerosakan pd komponen PSU (power supply unit) dan wired network card bahkan keseluruhan board dan komponen dalaman.

2. Elak selalu format hard-disk secara low-level, mahupun full format, akan memendekkan jangka hayat hard disk. Guna quick format sebaiknya.

3. Elak guna bateri semasa bekalan elektrik dari plug tersedia. Namun, kebanyakkan notebook pada masa kini adalah auto disconnected sekiranya bekalan elektrik dari plug disambung.

4. Elak dari menutup ruang udara di bawah laptop. Boleh menyebabkan kepanasan pada komponen laptop yang menyumbang kepada masalah stabiliti (laptop terpadam sendiri dan sebagainya.)

5. Elak menggunakan laptop pada tempat yang tertutup dan panas.

6. Elak menggunakan plug cable yang berkongsi dengan peralatan elektrik yang menggunakan tenaga elektrik tinggi, seperti peti ais, heater air, seterika dan sebagainya. Boleh memendekkan jangka hayat peralatan disebabkan arus elektrik yang tidak sekata.

7. Gunakan kipas penyejuk tambahan bagi ruangan di bawah laptop sekiranya mampu. Ia sangat membantu pengaliran udara diruangan bawah laptop yg sangat terkesan dengan haba.

8. Hantar untuk servis bagi membuang habuk yang terlekat di celahan heat sink processor dalam skala setahun sekali. Vacuum tidak mampu membuang habuk sepenuhnya. Membuka casing laptop memerlukan ketelitian dan pengetahuan, jadi anda tidak digalakan untuk mencuba sendiri.

9. Guna pembersih yang tidak menghakis untuk mencuci sebarang peralatan laptop. Gunakan kapas bagi membersihkan skrin LCD dengan pembersih skrin.

10. Guna berus cat yang masih belum digunakan dan masih lembut untuk membuang habuk di persekitaran skrin dan keyboard. Buang habuk yang melekat terutamanya di kipas process dan motherboard dengan memberus keluar perlahan2.

11. Pastikan laptop diceraikan dari bateri semasa dimasukkan kedalam beg. Mengelak dari kesan jangkamasa panjang hayat bateri dan mengelak kecurian.

12. Periksa kebocoran arus elektrik dengan menggunakan test-pen (boleh dibeli di mana2 kedai elektrik dan elektronik) dengan menyentuh test-pen pada casing / peralatan laptop. Sekiranya lampu test-pen bernyala, kebocoran elektrik wujud. Boleh mengakibatkan kerosakan komponent terutamanya laptop monitor dan motherboard. Periksa soket plug atau tukarkan soket baru. Jika menggunakan extension plug, gantikan dengan yang baru.

13. Beli / ganti peralatan komputer yang berkualiti. Barangan yang berkualiti adalah lebih tahan lama dan lebih efisyen. Kebiasaanya barangan berjenama dan berqualiti adalah mahal sedikit namun berbaloi untuk jangka masa yg lebih lama.

14. Elak meninggalkan laptop di dalam kenderaan terlalu lama di kawasan yang panas.

15. Elak menggunakan wired network semasa kilat, terutama sekiranya tiada lightning protection bagi talian telefon dan elektrik. Bole menyebabkan kerosakan pada modem dan network card.

16. Elak menyerahkan laptop anda untuk dibaiki tanpa sebarang rekod salinan peralatan dan spesifikasi laptop anda yang sedia ada. Kecurian dari segi komponent mudah terjadi. Merugikan anda sekiranya berlaku tanpa anda ketahui.

17. Guna kesington key bagi mengunci laptop di meja. Mengelak dari kecurian ketika anda tiada bersama laptop.

18. Elak menyentuh skrin LCD dengan menggunakan jari atau peralatan tajam. Boleh mengakibatkan kerosakkan (death) pixel pada skrin.

19. Jangan mematikan (shutdown) laptop dengan terus mematikan switch plug atau dengan menekan butang on / off pd computer selama beberapa saat. Boleh mengakibatkan kehilangan / corrupted / bad sector pada hard disk / file. Juga memendekkan jangka hayat hard disk.

20. Elak dari menggunakan beg laptop yang nipis dan tidak mempunyai ketahanan. Mengelak dari retakan pada casing laptop atau sebarang kecacatan yang boleh terjadi.

21. Jangan menggunakan terlalu banyak peralatan yang disambung pada port USB sekiranya tidak perlu. Setiap peralatan / hardware menggunakan peratusan tenaga (dalam unit Watt) yang boleh mengakibatkan kekurangan / bekalan power (Watt) tidak mencukupi bagi hardware lain. Mengakibatkan stabiliti terganggu dan sesetengah kes, boleh menyebabkan kepanasan melampau pada port USB yang boleh mengakibatkan kerosakan pada alat (seperti Pendrive)

22. Sekiranya keyboard anda rosak dan tidak mampu untuk menggantikan dengan yang baru, beli soft-keyboard yang boleh digulung dan diperbuat daripada silikon. Mudah untuk digunakan dan amat selesa.

23. Sekiranya monitor anda rosak dan tidak mampu untuk menggantikan LCD baru, jadikan laptop tersebut sebagai PC dengan menyambung ke monitor luaran seperti LCD / CRT / Projektor.

24. Jika laptop berbunyi bising, hantar servis untuk membuang kotoran yang terlekat pada kipas atau heat sink laptop.

25. Jangan sesekali memasukkan DVD / VCD bersaiz kecil kedalam DVD / VCD player yang jenis auto insert and eject (slot-in type). Boleh merosakkan DVD / VCD player anda

Sunday, March 6, 2011

JALAN YANG DIREDOI

muslimah1.jpg

Oleh DR. SIDEK BABA

REMAJA adalah kelompok yang amat aktif dalam semua perkara. Remaja suka bertanya, suka mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, berjiwa adventure, suka menarik perhatian, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta. Inilah perkembangan naluri dan fitrah remaja dalam proses membentuk diri masuk ke alam dewasa.

Sebagai seorang remaja Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan. Potensi yang dimiliki remaja boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara dan potensi itu juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan juga negara. Isu utama di sini ialah bagaimana potensi dapat digilap dan disuburkan secara fitrah dan bagaimana bakat dapat digunakan secara bermanafaat dan berfaedah. Terdapat petanda yang jelas bagaimana bakat remaja terbazir dan disalahgunakan begitu saja tanpa memahami tujuan hidup dan tuntutan persiapan diri bagi remaja.

Islam memberikan remaja jalan dan nilai. Memahami ajaran Islam secara baik membantu remaja bagaimana dapat menjalani hidup secara terancang dan memberi faedah. Islam memandu remaja bagaimana melakukan pergaulan yang sihat supaya naluri berkawan dapat dipenuhi dan batas syarak dapat dipatuhi. Islam memberi dorongan untuk menuntut ilmu supaya dewasanya remaja nanti memiliki kekuatan yang amat perlu bagi pembangunan negara. Islam mendidik remaja menjadi jujur dan amanah supaya apabila mengambil tanggungjawab nanti, remaja akan mempunyai persiapan. Islam memandu remaja supaya memilih hiburan yang tidak melampaui batas supaya hiburan tidak menjadikan remaja lalai dan hilang keutamaan.

Islam tidak mengajar remaja hilang adab kepada orang tua kerana ia adalah tidak baik. Islam tidak menyuruh remaja bersifat takbur kerana orang yang takbur tidak diredai Allah. Islam tidak mengajar kita supaya miskin harta dan miskin ilmu malah Islam menganjurkan kita sejahtera di dunia dan sejahtera di akhirat. Islam tidak menganjurkan remaja supaya bersikap mundur terhadap kemajuan dan perubahan kerana keadaan sedemikian boleh menyebabkan kita hina dan dipandang rendah.

Kental

Yang lebih utama ialah harus ada jiwa yang kental bahawa remaja ada Allah yang sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat yang tidak terkira. Tanda-tanda kebesaran Allah adalah amat banyak untuk menjadikan kita yakin dan patuh kepada-Nya. Remaja tidak melakukan penciptaan terhadap sesuatu tetapi ia dilakukan oleh Allah. Remaja hanya mampu mereka, mengolah dan menggubah daripada sesuatu yang sedia ada kerana manusia ada pemikiran kreatifnya. Bayangkan tanpa air sebagai sumber nikmat apakah yang dapat kita minum. Bayangkan tanpa akal untuk berfikir apakah daya untuk memiliki ilmu dan ikhtiar. Kalau hujan tidak diturunkan, bayangkan tanah-tanah yang kering tidak akan subur untuk menumbuhkan pokok yang menjadi sumber rezeki manusia. Perhatikan planet yang bergerak teratur dan tersusun, siapakah pengawalnya kalau tidak Allah. Manusia cuba menguruskan sistem di jalan raya. Sehebat mana susunannya, kemalangan tetap berlaku dan kesesakan sering terjadi. Betapa sistem solar dan kosmos yang berputar menyebabkan sesuatu itu berjalan dengan tepat tanpa adanya perlanggaran dan kesesakan. Kuasa apakah itu yang Maha Pengatur Dan Maha Penyusun. Remaja seperti orang lain memiliki roh.

Roh itu tidak datangnya daripada manusia. Roh itu pastinya milik Allah. Disebabkan roh itu milik-Nya, ia boleh mengambilnya pada bila-bila masa yang ia mahu. Remaja hanya mampu berdoa dan berikhtiar. Ketentuan akhir bagi sesuatu bukan di tangan kita. Ia adalah milik Pencipta. Remaja dan manusia lain juga sifatnya fana atau tidak kekal. Berlaku silih gantian antara yang hidup dengan yang mati dan antara pohon yang tumbuh dan rebah. Manusia dan makhluk tidak kekal. Tetapi siapa yang kekal? Kalau tidak ada yang kekal tentu tidak ada yang sementara. Adanya kesementaraan tentu ada yang kekal kerana yang kekallah menyebabkan adanya kesementaraan. Tanpa yang kekal tidak akan ada silih gantian. Yang kekal itu ialah Allah dan yang sementara itu adalah kita. Hinggalah kita bertemu dengan-Nya nanti maka barulah Allah menentukan di mana kita.

Memahami hakikat ketuhanan boleh menyebabkan remaja yakin tentang Pencipta yang Maha Berkuasa. Daripadanya datang jiwa hamba yang tinggi. Daripadanya lahir rasa patuh, akur, taat dan tunduk. Daripadanya datang sifat melakukan sesuatu untuk mendapatkan perkenan-Nya atau reda-Nya. Bersifat jujur, baik hati, suka membantu, rajin bekerja, amanah dalam pengurusan, taat kepada ibu bapa, kasihkan guru, setia kepada kawan yang baik, cintakan ilmu, tahu membezakan baik dan buruk terhadap sesuatu adalah perkara-perkara yang Allah reda.

Sekiranya perlakuan remaja dalam reda Allah, amalan di dunia akan jadi natijah akhirat. Kebaikan yang remaja lakukan dalam hidup ini tidak saja membawa kebaikan kepada remaja tetapi membawa kebaikan juga kepada orang lain juga. Katakan remaja kasihkan Allah kerana Ia Maha Berkuasa dan Perkasa menyebabkan remaja akan kasihkan ibu bapa dan orang lain. Tidak mungkin orang yang benar-benar kasihkan Allah akan melakukan kezaliman terhadap orang lain. Remaja yang beriman dan bertakwa akan sentiasa memiliki kesedaran ketuhanan yang tinggi. Remaja akan sentiasa insaf bahawa perbuatannya diperhatikan, perilakunya dicatatkan dan setiap apa yang dikerjakan sentiasa dalam pengetahuan Allah. Oleh itu pancaran kasih kepada Allah adalah gambaran ketaatan, kepatuhan yang tinggi terhadap-Nya.

Katakan remaja kasihkan ilmu kerana ilmu memberi manfaat kepada manusia. Tidak mungkin ilmu datang kepada remaja tanpa izin daripada Allah. Ilmu yang Allah reda tidak saja berguna dan berfaedah tetapi mendekatkan manusia dengan Pencipta. Apabila remaja berasa kedekatan dan kehampirannya dengan Allah, ilmu akan terus dicari dan ditingkatkan Dan amalan juga terus diperbanyak dan dikembangkan. Kedekatan dan kehampiran kepada Allah bukan bermakna hampir dan dekat dari segi jarak tetapi kedekatan dan kehampiran remaja terhadap Allah dilihat daripada bukti amalan yang Allah reda, niat yang sentiasa ikhlas dan hati remaja yang sentiasa tidak putus asa yang membayangkan usaha remaja yang berterusan untuk melakukan kebaikan kerana kebaikan walaupun sebesar biji sawi, Allah mengetahuinya. Keyakinan inilah yang sebenarnya menyebabkan remaja yakin akan reda Allah.

Budaya

Sekiranya budaya atau cara hidup yang yang bersandarkan kepada reda Allah wujud pada diri remaja, ia menyebabkan para remaja tidak sahaja memiliki pedoman dan dorongan yang terbaik untuk memandu jalan hidup remaja tetapi budaya reda Allah ini boleh membentuk kedewasaan remaja nantinya menjadi orang yang sentiasa taat dan patuh terhadap apa yang disuruh oleh Allah dan sentiasa mengelak dan tidak melakukan apa yang dilarang. Budaya ini apabila meresap dalam diri dan amalan remaja ia bakal menjadikan remaja orang yang sentiasa dalam rahmat Allah.

Bayangkan pada hari ini ramai remaja terjebak dengan salah laku yang berbagai. Perhatikan pada masa kini ramai remaja menjadi mangsa dadah, salah laku sosial, malah mangsa AIDS/HIV yang akhirnya jadi derita dan sengsara. Saksikan bagaimana mangsa-mangsa ini sudah hilang jalan kembali. Harapan untuk berperanan sudah hilang. Hidupnya pun ibarat bangkai bernyawa. Tidak memberi guna kepada diri dan menjadi beban terhadap orang lain. Puncanya ialah kerana hilang pedoman, tunduk kepada rangsangan hawa nafsu, tidak takutkan balasan Allah dan akhirnya kelazatan yang sementara menjadi buruan.

Memilih jalan yang Allah reda adalah jalan yang terbaik bagi remaja bagi menentukan hala tuju hidupnya. Keyakinan terhadap Allah adalah syarat utama. Allah turunkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan sumber ilmu. Tanpanya remaja bakal hilang pedoman kerana kekuatan akal adalah tidak segala-gala. Allah pilih nabi dan rasul untuk menjadi contoh ikutan kerana tanpa sumber teladan yang fitrah remaja akan kesasaran dan memilih ‘idola’ dan ‘diva’ sebagai lambang. Allah berikan remaja rahmat dan nikmat yang banyak supaya daripadanya remaja akan hidup dan bakal dewasa dalam reda-Nya.

Inilah jalan pencarian yang perlu bagi remaja supaya hidup yang sementara memberi makna yang kekal di akhirat nanti. Inilah jalan reda yang perlu diikuti supaya remaja tidak sesat dan akhirnya menyesal.

- PROF. DR. SIDEK BABA IALAH Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SEJARAH PENUBUHAN 3

Dalam masa peralihan daripada kerajaan Jepun kepada kerajaan Negeri Bersekutu pada tahun 1945 Tanah Melayu diperintah buat sementara waktu oleh Bintang Tiga selama 3 bulan 10 hari. Tiada siapa yang dapat membayangkan kezaliman Bintang Tiga ini. Tetapi Madrasah Khairiah ini menjadi tempat perlindungan bagi orang-orang melayu di daerah Baling daripada kezaliman Bintang Tiga tersebut.

Tuan Guru Hj. Yahaya telah berangkat semula ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji.Sepeninggalannya ke Tanah Suci pentadbiran Madrasah disandang oleh Pak Su Haji Ahmad. Dalam masa tersebut beliau telah membesarkan lagi Madrasah disebelah hilirnya.

Sepulangannya dari Tanah Suci Mekah setahun kemudiaan, Tuan Guru Hj. Yahaya telah menyambungkan semula pengajarannya di Madrasah Khairiah. Semenjak dari itu pada setiap hari dan
bulan bilangan pelajarnya semakin bertambah.

KUNJUNGAN DATO' ONN JAAFAR

Di tahun 1940-an semangat Hidup Melayu bergema dalam masyarakat melayu. Pada tahun 1945 telah diadakan satu majlis 'IHTIFAL' secara besar-besaran di Madrasah yang dianjurkan oleh penduduk tempatan. Dengan usaha Paksu Haji Ahmad maka di dalam majlis tersebuat turut dihadiri oleh Sultan Kedah, Dato' Onn Jaafar, pembesar-pembesar negeri serta orang-orang kenamaan yang lain. Lebih puluhan ribu manusia hadir pada hari tersebut untuk mendengar ucapan Dato' Onn Jaafar dalam memperjuangkan nasib Melayu. Pada hari tersebut tidak kurang dari 20 ekor kerbau yang disembelih untuk jamuan kepada hadirin. Dari sini jelas bahawa kemasyuran, kemajuan dan kejayaan Madrasah Khairiah pada masa itu adalah gabungan dua tenaga utama iaitu Tuan Guru Hj.Yahaya sendiri yang bergiat dalam bidang pelajaran dan Pak Su Hj. Ahmad yang memainkan peranan dalam hal-hal luar.

Sistem Pelajaran Secara Nizomi

Sebelum tahun 1951 Madrasah Khairiah hanya menumpukan pembelajarannya secara umumi semata-mata dengan mempelajari kitab-kitab agama yang ditulis dalam bahasa melayu Pattani yang
diterjemahkan dari kitab Arab sendiri oleh guru-guru Pattani di Mekah disamping kitab-kitab agama yang ditulis di dalam bahasa Arab sendiri. Tetapi kemudiaannya pada tahun 1951 dengan persetujuan mesyuarat agung, Tuan Guru bersetuju mengadakan pengajian secara Nizomi dan mengikuti pengajian secara umumi pada malamnya yang dikendalikan oleh Tuan Guru Hj. Yahaya sendiri. Dalam system Nizomi tenaga pengajar terdiri daripada murid-murid tua yang menjalankan tugas secara sukarela.
Mereka ialah Hj. Hassan Rasyid (Mudir), Hj. Zakaria Hj. Ahmad, Haji Abdullah Awang Besar, Haji Sulaiman Ibrahim Al- Fahmi, haji Badruddin dan Haji Abdul Rahman Hj. Majid.

KELU UCAP TERIMA KASIH



HANYA dua perkataan untuk mengungkapkan 'Terima Kasih' namun masih sukar mahu mengucapkannya.

Ia nampak remeh tetapi kepentingannya tidak mampu disangkal. Malangnya, masyarakat semakin susah membuka mulut untuk berterima kasih sekali gus menggambarkan nilai kesopanan kian terhakis.

Walaupun ada yang berkata, besar sangatkah nilai ucapan itu, saya tetap pertahankan, ia memang penting kerana menggambarkan nilai budi seseorang.

Bayangkan situasi ini. Sesudah pertolongan diberikan, kemudian ucapkan terima kasih, bagaimanakah rasanya. Bagaimana pula jika tiada ucapan. Sudah tentu ada perbezaan, bukan?

Sayangnya, perbuatan semudah itu semakin dilupakan gara-gara aliran perubahan dunia yang mementingkan kemodenan. Mungkin ada anggapan, perbuatan itu tampak kuno.

Justeru, tidak hairanlah kebanyakan golongan generasi muda kini tidak mengambil berat kepentingan mengucapkan terima kasih.

Persoalannya, adakah perlu sentiasa mengucapkan terima kasih sedangkan ada kalanya tidak perlu berbuat demikian kerana orang memahaminya.

Tiada sebab menolak nilai perbuatan yang baik. Contohnya, jika diguna pakai di sekolah, ia boleh membentuk sahsiah murni di kalangan generasi muda. Bukankah ini satu nilai tambah yang bermanfaat?

Kita tidak boleh menolak kenyataan ramai golongan muda hari ini sudah rendah nilai akhlaknya, sentiasa bersikap kurang ajar dan sebagainya.

Namun, menyalahkan mereka sepenuhnya juga tidak wajar kerana pendedahan terhadap pelbagai informasi dan perlakuan menerusi medium seperti Internet, televisyen dan sebagainya sudah tidak mampu dikawal.

Bagaimanapun, menerusi nilai murni yang diterapkan, ia mampu mengekang budaya melampau dan ia boleh dibentuk serta dimulakan di peringkat awal menerusi institusi sekolah atau rumah.

Justeru, apabila pelbagai pihak memperkenal dan menekankan pembelajaran nilai murni, ia sangat dialu-alukan kerana pengaruhnya besar dalam membentuk generasi berkualiti masa depan.

Diakui, antara institusi terpenting yang memainkan peranan ini ialah sekolah namun tanggungjawab itu juga seharusnya dimulakan di rumah atas bimbingan ibu bapa.

Ia lebih berkesan kerana ibu bapa adalah insan paling dekat di hati anak. Jika ibu bapa mencorakkannya, tentu pembentukan asas itu akan kukuh kerana pada masa sama boleh berperanan sebagai model ikutan yang baik.

Apabila kedua-dua pihak saling membantu, penerapan apa saja nilai murni akan berjaya kerana masing-masing mengetahui peranan yang perlu dilaksanakan.

Semua pihak berhasrat melahirkan golongan pemimpin berkaliber dan berani. Bagaimanapun adakah hasrat ini mudah dicapai jika asas pembentukan diri yang mudah gagal dilaksanakan?

Justeru, supaya tidak akan berputih mata, mulakan langkah dari sekarang. Sama ada ibu bapa atau guru, mereka perlu menerangkan kepentingan mendukung nilai murni biarpun ada kalanya nampak mudah atau remeh.

Jadikan institusi sekolah atau rumah sebagai platform awal membuat latihan. Saya percaya, jika selalu dipraktikkan, tiada sebab hasrat melahirkan golongan berbudi pekerti akan gagal.

Yang penting, mulakan langkah awal dan usaha. Kita tidak dapat mengetahui kejayaan mahupun kegagalan jika tidak berubah dan bergerak.

Friday, March 4, 2011

BATU-BATU BERJALAN


batu-berjalan-di-racetrack-playa.jpg


Apakah mereka digerakkan oleh manusia atau haiwan?

Jejak yang terbentuk di belakang batu menunjukkan bahawa batu-batu berjalan itu berpindah di atas permukaan Racetrack Playa masih ditutupi dengan lumpur yang sangat lembut. Dan, di sekitar jejak batu, tidak ada lumpur yang rosak akibat jejak makhluk hidup yang lain. Ertinya, sangat kecil kemungkinan batu tersebut dipindahkan oleh manusia dan haiwan.

Apakah mereka digerakkan oleh angin?

Ini penjelasan paling logik dan dipilih banyak orang kerana undian.Bukan sekadar meneka-neka. Tapi, jika dipelajari dari jejak batu yang berjalan, arahnya sejajar dengan arah angin yang bertiup di Racetrack Playa, yakni dari barat daya ke arah timur laut.Hembusan angin kencang dijangka mampu menolak batu sampai berpindah tempat.

Apakah mereka digerakkan oleh ais?


Beberapa orang mengaku sempat menyaksikan Racetrack Playa yang diliputi oleh lapisan ais tipis.Oleh sebab itu,air membeku di sekitar batu. Lalu, angin bertiup di atas permukaan ais dan mengheret lapisan ais berikut batu yang berada di permukaan ais.

Beberapa kajian telah menemukan jejak sangat jelas pada beberapa batu. Namun, seharusnya pengangkutan lapisan batu besar diharapkan meninggalkan tanda pada permukaan Playa.Namun,sampai sekarang, tanda tersebut belum boleh dibuktikan.

Mungkin anda bersetuju dengan salah satu daripada beberapa penjelasan di atas. Atau, tidak ada salahnya jika anda mempunyai penjelasan lain yang berbeza. Tetapi, mungkin cerita ini akan tetap menarik jika jawapannya tidak pernah diketahui dan menjadi misteri.Itu semua adalah ciptaan ALLAH swt.Settle

sumber : Misteri Batu-Batu Berjalan di California

KATA BERMOTIVASI

Fahami dan hayatilah setiap kata-kata peransang ini semoga anda dapat menyemarakkan semangat ingin terus berusaha dalam merealisasikan impian anda...

Sesiapa yang mempunyai kebolehan akan berjumpa landasan yang tepat.
- Charles Cahier

Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.
- Charles Cahier

Semua yang dicapai oleh manusia dan yang gagal dicapai olehnya adalah kesan langsung pemikirannya.
- James Allen

Menyimpang seinci, rugi seribu batu.
- Peribahasa Cina

Rahsia kejayaan adalah ketekalan matlamat.
- Benjamin Disraeli

Perbaiki diri anda, tetapi jangan jatuhkan orang lain.
- I. Salanter Lipkin

Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya.
- Aristotle

Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.
- Albert Camus

Nilai manusia adalah semahal nilai matlamatnya.
- Marcus Aurelius

Manusia yang tidak berharap untuk menang telah sedia kalah.
- Jose Joaquin Olmedo

Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat.
- Joseph Conrad

Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang.
- William J. Siegel

Minda yang mahu akan memudahkan perjalanan yang susah.
- Philip Massinger

Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.
- Lao Tze

Kegagalan adalah asas kemenangan
- Lao Tze

Jika tujuan anda jelas, anda boleh mencapainya dengan mudah.
- Lao Tze

Kurang semangat mengakibatkan lebih banyak kegagalan berbanding kurangnya kebijaksanaan atau kemahiran.
- Flower A. Newhouse

Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang.
- Samuel Johnson

Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang.
- Cecil B. DeMille

Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan.
- Peribahasa Arab

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
- Peribahasa Melayu

Orang yang hebat bertindak sebelum berkata dan dia berkata selaras dengan tindakannya.
- Confucius

Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi.
- Confucius

HATI DAN PERASAAN



Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.

Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telah pun dibukakan untuk kita.

Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami. Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan
juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah ‘ia’ datang.

Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali!

Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda. Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang. (They say it takes a minute to find a special person, and hour to appreciate them, but then an entire life to forget them).

Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut.

Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram.

Carilah sesuatu yang membuatkan hati anda tersenyum. Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramatkan rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar.

Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan.

Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia. Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga.

Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka.

Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai
kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka.

Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan.

Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan
kegagalan dan kekecewaan masa silam.

Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis.

Wednesday, March 2, 2011

FORMULA MENCAPAI MATLAMAT ANDA

motivation%2Bof%2Ball.jpg

1: Keinginan

Pertama sekali di dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai apa jua matlamat yang anda impikan, anda perlu mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah untuk anda mencapai matlamat tersebut.

Keinginan seumpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang anda letakkan untuk diri anda sendiri.

Punca utama seseorang itu tidak dapat mencapai matlamatnya adalah takut kepada kegagalan. Sekiranya anda takut kepada kegagalan, maka, anda tidak akan mengambil langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat. Keinginan akan membawa anda untuk mengambil langkah pertama tersebut.

Tanpa keinginan, matlamat tidak akan tercapai.

2: Keyakinan

Lagu yang sering bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini “Jika kau fikirkan kau boleh, kau boleh melakukan. Jika kau fikirkan ragu-ragu, usaha mu tidak menentu”

Lagu yang popular pada 80-an. Ya, bunyi nya amat cliché, tetapi lagu yang simple ini mengandungi mesej yang amat besar!

Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita anda, anda perlu mempunyai keyakinan di dalam hati bahawa cita-cita tersebut akan dicapai! Dengan keyakinan yang tinggi, ia akan menjadi penggerak kepada anda untuk tidak menoleh kebelakang lagi.

Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub… anda tidak perlu meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda sendiri sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai… anda perlu tunjuk bahawa cita-cita anda tercapai- itu sahaja yang akan meyakinkan orang ramai.

Dalam menetapkan matlamat anda, anda perlu realistik. Matlamat yang realistik akan membantu dan motivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam masa setahun mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan gaji anda sebanyak 20% dalam masa setahun adalah lebih realistik!

Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya tidak tercapai.

3: Tulis matlamat anda

Ini AMAT penting. Sejak saya menulis di ruang motivasi MASKULIN, entah berapa kali saya mengulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% daripada golongan dewasa yang menulis matlamat mereka tersendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, tidak menulisnya.

Menulis matlamat anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri anda sendiri. Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa mengingati anda secara sedar, ataupun separa-sedar untuk anda mencapaikannya.

Matlamat yang tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila anda menulis matlamat anda, ia menjadi sesuatu yang nyata- boleh di sentuh. Anda telah membawa matlamat di imaginasi kepada bentuk yang anda dapat mengenggamkannya!

4: Senaraikan kebaikan yang anda akan kecapi

Apa yang anda akan dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan segala-galanya. Lagi panjang senarai anda, lagi bagus. Ini adalah kerana anda menyenaraikan motivasi-motivasi yang akan mebakar semangat anda untuk terus berusaha dan mencapai kebaikan tersebut.

Manusia adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda akan kecapi, ia akan memandukan anda ke arah mencapai matlamat tersebut. Berikan sebab-sebab mengapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah pulangan yang anda akan terima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda sekiranya matlamat itu tercapai- ini akan menyemarakkan lagi semangat anda untuk mencapaikannya.

5: Cermin kan diri sendiri

Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau di sofa!). Pada ketika ini, apakah keadaan anda. Anda perlu ketahui di mana anda berada kini untuk mencapai matlamat yang anda telah tetapkan.

Pastikan anda ketahui di mana anda berada kini oleh kerana itu adalah titik permulaan perjalanan anda. Lebih jelas anda dapat fahami keadaan anda kini, lebih jelas anda dapat melihat jalan ke arah pencapaian matlamat.

Sebagai contoh, sekiranya anda inginkan bebas kewangan, duduk dan ambil masa untuk melihat keadaan kewangan anda kini secara jujur. Sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu ketahui berat badan anda kini sebagai titik permulaan.

6: Tetapkan deadline

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan sama deadline untuk mencapainya. Bila kah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun?

Kebanyakan orang tidak deadline untuk menetapkan matlamat oleh kerana takut, matlamat tersebut tidak dapat tercapai sebelum deadline! Sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri… oleh itu, mereka biarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka- bila-bila masa sahaja!

Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja… berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia hanya akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat.

7: Ketahui rintangan

Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan terdapat rintangan di hadapan anda. Lagi besar matlamat anda, lagi besar rintangan yang anda perlu lalui. Ketahui rintangan-rintangan tersebut dan pelajari cara untuk menempuhinya terlebih dahulu.

Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah satu perjalanan mencari ilmu. Setiap rintangan yang anda temui walaupun sekecil manapun akan memperbaiki diri anda untuk rintangan-rintangan yang lebih besar di masa hadapan. Ini menjelaskan bahawa, mereka yang berjaya didunia adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman menghadapi rintangan-rintangan tersebut.

Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda berjaya menguasai segala rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu. Senaraikan apakah rintangan-rintangan yang akan muncul.

8: Ilmu tambahan

Ketahui Ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada diri anda untuk mencapai cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah akal fikiran yang merupakan anugerah yang paling istemewa sekali.

Bina satu senarai- apakah ilmu tambahan yang anda perlu ketahui untuk mencapai matlamat anda? Apakah kebolehan tambahan yang anda perlukan? Apakah pengalaman yang anda perlukan? Bolehkah anda mendapat bantuan orang lain sekiranya anda tidak mempunyai sesuatu kebolehan itu? Apakah maklumat yang paling penting atau kebolehan yang paling penting untuk andapunyai dalam mencapai matlamat anda?

Tanggungjawab anda adalah untuk mempelajari apa jua yang anda perlu tahu dalam mencapai matlamat anda.

9: Perancangan

Kata pakar motivasi “Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal”

Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat perancangan yang rapi- seperti kontraktor memerlukan plan untuk membina bangunan yang gagah berdiri. Anda juga perlu plan untuk mencapai menara gading.

Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci- dalam masa 1 bulan, apa yang anda perlu buat? Sekiranya ia tidak menjadi, apakah alternatif yang lain?

Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan taburkan, ianya akan menjadi hasil. Sekiranya anda merancang untuk taburkan sedikit usaha, maka, sedikitlah pulangan anda. Sekiranya anda merancang untuk menaburkan bergunung-gunung usaha, maka, hebatlah pulangan yang anda akan terima.

Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini adalah mereka yang sering ditpu dengan skim-skim piramid, skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan wang sendiri.

10: Bina gambaran

“A picture paints a thousand words”. Beri gambaran yang jelas di fikiran anda bahawa matlamat anda telah tercapai. Gambarkan diri anda 1 tahun dari sekarang. Atau, 10 tahun dari sekarang.

Dengan berimiginasi gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga akan membakar semangat anda untuk mencapai gambaran tersebut. Fikiran manusia dipenuhi dengan gambaran-gambaran dan bukannya perkataan. Penuhi fikiran anda dengan gambaran kejayaan anda di masa hadapan.

Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan, anda tidak jauh berbeza dengan angan-angan Mat Jenin!

11: Janji pada diri sendiri…

Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa rintangan yang akan datang. Tidak kira apa jua kegagalan yang anda hadapi, jangan- JANGAN- JANGAN sekali-kali putus asa! Sekrianya anda terjumpa dengan sahabat karib kejayaan, iaitu kegagalan- usah risau. Kejayaan adalah perintis untuk mencapai apa jua kejayaan- oleh sebab itulah saya gelarkannya sahabat karib.

Amat jarang sekali sesuatu kejayaan di capai tanpa kegagalan. Lagi banyak kegagalan anda temui, ianya bermaksud lagi hampir kejayaan kepada anda. Jangan putus asa oleh kerana kejayaan mungkin sedang menunggu disebalik kegagalan itu.

Berita baiknya adalah, menempuhi kegagalan adalah menambahkan pengalaman sendiri. Lebih banyak kegagalan yang anda jumpai, maka, lebih banyak anda dapat pelajari. Anda akan mempelajari lebih banyak dari sesuatu kegagalan. Sekiranya anda menjumpai kegagalan, ubah cara anda- jangan pula ikut cara yang sama oleh kerana cara yang sama akan membawa kegagalan seterusnya!
Kesimpulan

Kesemua formula kejayaan ini perlu di implementasikan setiap satu. Ini adalah “blue print” orang-orang yang berjaya di dunia. Ia menjadi formula kejayaan saya sendiri sehingga hari ini. Tiap-tiap kali saya mempunyai matlamat baru, saya akan rujuk kembali formula ini untuk memastikan matlamat saya tercapai.

Tidak sampai setahun lalu saya menetapkan matlamat saya, dan kini, dengan mengikuti formula yang diberikan, alhamdulillah saya mencapainya.

Kini, anda juga mempunyai formula kejayaan. Implimentasikannya kepada matlamat anda, dan saya yakin anda juga akan mencapai kejayaan dalam apa jua bidang!


Sumber: Irfan Khairi

KALAU MAHU SEMUA BOLEH

27417628_1.jpg

Di antara hikmah kita dijadikan sebagai khalifah di muka bumi Allah ini ialah bila kita diberikan akal untuk berfikir kemudian mengemudi akal kita dengan cara yang terbaik dan bila baik pelayaran akal kita maka kita akan berlabuh dengan mulia di pelabuhan abadi nanti. Namun, kadangkalanya kita sering menjadi seorang pelayar yang gagal, sudah berputus asa dan harapan, biarkan sahaja bahtera karam atau berlabuh di pulau sepi. Akhirnya pelayar kapal kalah dengan ciptaanNya yang bernama ombak dan ribut. Tiada akal dan tiada otak. Bagi pelayar yang berjaya melabuhkan kapalnya pula merupakan wira samudera, bijak dan hebat megawal keadaan serta perkasa membunuh 'TAKUT'. Kini pelayar yang berjaya sudah tiba di pelabuhan. Kemana destinasinya? Itulah hikmah manusia, dijadikan untuk benar-benar manjadi “Manusia yang Manusia”.


LUMRAH TRADISI DAN TRANSFORMASI

Menjadi seorang yang berjaya dan disegani bukanlah bermula dengan mudah dan senang, tidak seperti menyebut huruf A hingga ke Z. Rintangan dan dugaannya susah; perlu menghadapi dan dihadapi. Itu lumrah keadaan, bukan ciptaan mahupun rekaan. Bila mahu melaksanakan sesuatu yang baru, pasti ada yang memberontak; si TRADISI pasti bertindak menghalang si TRANSFORMASI untuk terus melaksanakan cita-cita. Akhirnya 1001 pertembungan akan berlaku. Siapa salah, siapa benar? Sekiranya dibincang dan dibahaskan, akhirnya pasti juga wujud “Khilaf”, akhirnya kedua-dua itu terkapai-kapai mencari titik yang tidak bertanda. TRADISI itu adatnya. Kena berpegang dan teguh berdiri. TRANSFORMASI itu pengubah adat. Perlu berkembang dan harus berjalan.

KALAU MAHU SEMUA BOLEH

Jika kita mahukan sesuatu luar biasa, apa yang kita akan buat? “Aku akan buat dan usaha sampai dapat!”, “Mestilah nak buat.. seronoknya!”. Angan-angan sudah mengatasi segalanya. Dibuai angan-angan kemudian diulit mimpi-mimpi indah dan kesudahannya sehingga kini masih lagi di KAKI AKAR. Berangan dan terus bermimpi-mimpi. KITA pasti bukan yang asyik berangan-angan dan bermimpi-mimpi, begitu juga saya. Kalau mahu semua boleh, kalau nak tiada yang mustahil dengan izin Allah. Ini kata-kata Abang Qobin (Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Belia Melayu Islam yang pertama sampai di Everest , dan Belia Malaysia mengelilingi dunia dengan hanya berbasikal) pada saya setahun yang lalu dan ini juga maksud kata-kata Pasangan Muslim Pertama Asia dari Brunei Darussalam yang mengelilingi dunia dengan kereta pacuan 4 roda (Puan hayati dan Encik Harun). Mereka merupakan diantara insan yang cukup bertuah dengan diri mereka kerana mereka dapat apa yang mereka mahu. Tiada tuah yang mendekati mereka, kerana mereka sendiri yang mencari tuah, itu istimewanya kerana mereka bukan pelayar yang berputus asa dan apa yang mereka tahu ialah “Kalau mahu semua boleh!”. Mereka Berjaya kerana mereka berpegang pada prinsip dan misi. Mereka juga berjaya kerana mereka mahu menjadi yang terbaik. Misi yang mulia akhirnya menjadikan mereka insan yang disegani. Mereka juga manusia seperti saya dan anda. Siapa tahu, kita bakal menjadi seperti mereka?


“HIJRAH ITU LAUTANNYA DUGA , NAMUN PELABUHANNYA INDAH”