Friday, February 18, 2011

MERANCANG PERUBAHAN

tahun baru.JPG

“Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi, ‘Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan suatu yang mustahil”

Ada yang sedih dan kecewa dengan keadaan diri dan kehidupannya...setelah beberapa lama selepas itu dia masih di tahap yang sama; tanpa sebarang perubahan atau peningkatan. Ramai juga yang bercita-cita tinggi dan mempunyai pengharapan yang besar, namun setalah masa demi masa berlalu tidak ada apa yang dicapainya.

Setiap insan inginkan kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupnya tetapi tidak semua daripada mereka yang memahami erti kejayaan dan kebahagiaan. Ada yang memahami erti sebenar kejayaan dan kebahagiaan tetapi tidak tahu pula jalan untuk mencapainya. Ada pula tahu semua itu tetapi tidak memiliki jiwa yang besar untuk berjuang untuk memperolehi kejayaan dan kebahagiaan tersebut. Jadi apa bezanya ketiga-tiga golongan ini dengan golongan yang ke 4, iaitu orang yang tidak memiliki harapan dan cita-cita. Tentunya semua mereka tidak berpuashati dengan keadaan hidup mereka namun tidak ada usaha untuk membaiki keadaan dirinya dan kehidupannya.

Bagaimana dengan kita? Jika kita inginkan kejayaan....maka tentu ada harganya yang perlu kita bayar. Sebagaimana kata-kata Ibn Qayyim: “kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula”
Tiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya, Kejayaan tak akan diraih dengan kesenangan dan kenikmatan kerana kesenangan dan kenikmatan itu hanya akan datang selepas kejayaan bukan sebelumnya. Jika kita benar-benar inginkan kejayaan dan kebahagiaan maka kita perlu sanggup menempuh halangan dan rintangannya.

Inilah persoalan besar yang sedang kita hadapi disepanjang kehidupan....tidak tahu membuat pilihan mana yang baik mana yang tidak. Kalaupun kita telah membuat pilihan tidak sanggup pula kita membayar maharnya/harganya. Kita inginkan kejayaan dengan 'harga yang murah', kita inginkan mencapai kebahagiaan dengan jalan pintas.

Pernah seorang kawan saya berkata: "Mi! kalau dikedai atau difarmasi ada ubat yang apabila dimakan aku terus jadi baik dan soleh...tentu aku akan beli walau setinggimanapun harganya." lalu saya menjawab: "Ya...kalau ada ubat yang sebegitu...semua orang akan membelinya termasuk ketua-ketua perompak atau penyamun kerana secara fitrahnya, semua orang ingin jadi baik tetapi dia tidak cukup kuat untuk membuat pilihan yang betul dan menundukkan hawa nafsunya."

Inilah warna warni kehidupan....selalu bila nak membeli seseorang akan minta yang paling baik tetapi harganya paling murah, sedangkan sesuatu yang baik tentu tinggi pula harganya. Mungkin semua orang tahu dan faham hakikat ini cuma sekadar mencuba nasib...tetapi wajarkah disepanjang kehidupan kita hanya mencuba nasib sedangkan masa terus berjalan, umur meningkat dan laluan kehidupan kita semakin hampir kegarisan penamatnya.

Oleh itu kita perlu merancang perubahan diri untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Kita perlu tahu titik mulanya, arah tujunya, berapa jauh perjalanannya, berapa ongkosnya yang perlu dibelanjakan dan sampai bila kita perlu merancang dan melakukan perubahan.

Titik mula perubahan

Masa berlalu begitu pantas. Hari Isnin yang bakal tiba adalah hari baru, bukan lagi Isnin yang lepas. Segala-galanya berubah mengikut pergantian hari. Tidak ada yang kekal bentuk dan keadaannya kecuali objek-objek yang kaku dan mati. Tiap yang hidup itu pasti melalui proses perubahan bahkan perubahan itulah simbol kehidupan.

Jiwa yang hidup adalah jiwa yang sentiasa inginkan perubahan. Jiwa Mukmin inginkan hari ini yang sedang dilaluinya lebih baik dari semalam. Ibadahnya bertambah baik, akhlaqnya juga bertambah baik begitu juga dengan keadaan jiwanya dan seluruh yang berkaitan dengan dirinya. Segala-galanya haruslah lebih baik dari semalam walaupun hanya kebaikan yang bertambah itu hanya sedikit sahaja. Mereka takut tergolong dalam golongan yang 'celaka' sepertimana yang diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Secara fitrahnya, semua jiwa samada beriman (mukmin) atau tidak inginkan hari esok yang lebih baik dari hari ini. Cuma tidak semua manusia yang dapat melakukan perubahan kepada keadaan yang lebih baik. Ada yang tidak tahu apakah perubahan yang harus dilakukan dan ada yang tidak tahu titik mula untuk melakukan perubahan.

Bentuk perubahan yang perlu dilakukan lebih mudah dikesan oleh kita tetapi seringkali kita gagal mengesan dimana titik mula perubahan. Kita seringkali juga melakukan perubahan tetapi malangnya kebanyakan besar perubahan yang kita lakukan hanya tertumpu pada perubahan-perubahan kecil. Kita mungkin menukar fesyen rambut, cara bercakap, cara berjalan dan sebagainya yang tergolong dari perubahan-perubahan kecil yang tidak memberi kesan besar pada perjalanan hidup kita atau mendekatkan kita dengan matlamat yang tinggi dan mulia.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan dimana setiap perubahan itu berlaku sebagaimana sabdanya "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada segumpal darah, jika baik maka baiklah jasad seluruhnya dan jika apabila ia rosak maka rosaklah jasad seluruhnya. Iaitu hati"

HATI, ya disinilah segala perubahan harus bermula. Hati inilah yang membezakan manusia dan haiwan melata yang lain. Di sinilah letaknya kemuliaan insan. Hati ini perlu dibersihkan dari segala noda dan kekotoran yang menjadikannya keras dan hilang kepekaan. Perlu ditanggalkan segala kecenderungan kepada hawa nafsu dan segala yang bersifat murahan dan sementara. Hati ini perlu diisi dengan kemuliaan Iman. Hati ini juga perlu diisi dengan keyakinan pada janji-janji dan ancaman-ancaman Allah SWT.

Hati yang bersih dan lembut ini, hati yang bersih dari kecenderungan haiwani serta dipenuhi dengan keimanan dan keyakinan pada janji-janji dan ancaman Allah SWT ini akan melihat kehidupan ini dalam dimensi yang berbeza. Hati begini akan melahirkan kekuatan jiwa dan berbagai kekuatan lain untuk menempuh segala rintangan dan halangan. Segala-galanya dipandang kecil dan ringan, yang besar ialah Allah dan apa yang Allah janjikan.

Kekuatan inilah yang telah melahirkan generasi pertama yang dididik oleh Rasulullah SAW. Generasi yang tidak dijangkiti sifat tamak dan haloba, generasi yang tidak mengenal takut dan putus asa. Generasi yang apabila mendengar panggilan kepada keimanan dan kehidupan akhirat yang kekal abadi maka mereka melihat dunia dengan pandangan kecil dan tidak bernilai. Mereka yang merasa kerdil di depan Allah SWT tetapi dipandang mulia dan hebat oleh manusia lain

No comments:

Post a Comment