Saturday, March 12, 2011

SiAPA KiTA TANPA MEREKA


syukur.jpg

"Ina, dah habis ke barang?" Umi dan Abi bertanya. Berpeluh mengangkat barang, membantu saya pindah masuk asrama.

"Ada lagi dalam stor". Umi tenang menjawab, "tak apalah, kita angkat sama-sama".

Satu rasa menyelinap ke dalam hati. Antara sayu dan terharu. Semuanya bercampur-aduk membuatkan saya terpana. Terasa ingin

didakap erat tubuh Umi dan Abi.

Tidak mahu dilepaskan lagi.

Pengorbanan

Umi mengangkat baldi di tangan kanan, bakul di tangan kiri sementara saya terkial-kial mengangkat satu kotak yang penuh berisi buku. Abi menunggu di luar, ingin menyambut huluran barang dari kami.

Basah sudah wajah dan tubuh Umi dan Abi. Semenjak siang menemani saya. Sejak dari pendaftaran kursus sehinggalah ke pengambilan kunci. Biarpun ada masalah sedikit, Abi tetap berkata, "tak apa..sabar, sabar".

Kemarahan yang mahu meresap ke relung hati serta-merta hilang. Kepenatan yang saya lalui sedikit memuhasabah diri, Umi dan Abi tentu lebih penat!

Situasi yang saya lalui, bukan sahaja dilalui oleh saya seorang. Apa yang dapat saya lihat, berduyun-duyun ibu bapa yang datang menghantar anak-anak memasuki semester baru. Mengangkat barang-barang yang berat biarpun terkial-kial. Namun senyuman tetap
terukir di wajah biar badan letih lesu.

Besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa.

Apakah anak-anak masih tidak mampu untuk melihat?

Saban hari, rumah-rumah orang tua semakin penuh terisi. Lupakah sudah si anak akan pengorbanan ibu dan bapa mereka?

Lupakah pada ibu yang mengandungkan sembilan bulan, lupakah pada ayah yang bertungkus lumus mencari rezeki demi melihat hidup

anaknya terbela?

Anak vs Ibu Bapa

"Seorang ibu boleh jaga sepuluh orang anak tapi sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu", Abi bersuara di dalam kereta, menyatakan kekesalan pada anak-anak muda yang semakin lupa asal-usulnya.

Dalam diam saya mengiyakan. Betapa si ibu menatang anak-anaknya semenjak kecil dan mengasuh dengan kasih, tetapi apabila si anak telah dewasa, berjumpa pula dengan kekasih hati. Mindanya terus tertutup untuk memikirkan pengorbanan si ibu semenjak
dirinya kecil.

Hati ibu mana yang tidak terluka apabila anak-anaknya menengking-nengking, bercakap kasar, apatah lagi jika perbuatan buruk anaknya menjadi bualan mulut orang.

"Ah, diorang tu memang suka cakap pasal orang lain! Sibuk jaga hal orang! Sibuk buat fitnah!" katanya dengan ego.

Benar, benar sekali. Dalam Islam kita dilarang menabur fitnah. Tapi harus diingat, Islam juga menyuruh kita agar melindungi diri daripada menjadi bahan fitnah.

Bagaimana?

Contohnya, tidak mahu difitnah melakukan bukan-bukan kerana pakaian yang tidak elok, maka pakailah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna.

Jika rasa dengan bermegah-megah dengan kelebihan mampu mendatangkan fitnah, maka merendah dirilah dalam segala hal.

Begitulah, Islam itu adil dan seimbang. Jika tidak mahu difitnah, jangan jadikan diri bahan fitnah.

Apabila orang sudah mula mengata, nilai kembali diri. Apakah mereka yang benar-benar salah, atau diri kita terlibat sama?

Yang mengata juga harus menilai diri. Jangan cepat benar menghukum. Hati manusia sungguh-sungguh tidak dapat ditembusi oleh minda manusia juga. Serahkan jagaannya pada Allah, pemilik seluruh alam..

Kembalilah

Wahai anak-anak muda sekalian! Kembalilah menuju cinta-Nya. Kembalilah menggapai redha-Nya dengan mendapatkan redha kedua ibu bapamu.

Apa ertinya hidup andai dipenuhi denganya benci dan dendam.
Apa ertinya hidup andai hati tidak tenteram.
Apa ertinya hidup andai diri sendiri tidak dapat memanusiakan diri.

"Jalan elok-elok. Jangan tidur masa drive". Saya memeluk erat Umi dan Abi. Sungguh saya sayang kalian sangat-sangat kerana Allah semata.

Maafkan segala kesalahan anakmu ini.

Sahabat, kembalilah dalam dakapan ibu dan bapamu.

Biar hatimu pernah terguris.
Biar jiwamu hancur dihiris.

Selagimana suruhannya tidak melanggar perintah Allah, cubalah untuk taat.

Ingatlah. Tanpa mereka, siapalah kita.

"Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu- bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan

Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku kabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (Al-Ankabut, 29:8)


Sumber: iluvislam.com

No comments:

Post a Comment